Tentang PERSAMA

Latar Belakang
Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) telah ditubuhkan pada tahun 1970 oleh sekumpulan ahli yang berminat di Universiti Malaya untuk menggantikan Persatuan Sains Matematik Malaya yang berkubur yang sebelum itu telah memberikan khidmat di kedua-dua negara, Malaya dan Singapura. Pada mulanya Persatuan ini hanya mempunyai 42 orang ahli, hampir kesemuanya dari Universiti Malaya. Kini Persatuan mempunyai jumlah ahli yang sekitar 300 orang yang terdiri daripada ahli akademik dan guru sekolah seluruh negara tidak termasuk pelajar dan institusi.
 
 
Misi
Meletakkan sains matematik dan ilmuannya ke tahap yang unggul dalam pengartikulasian, pencanggihan, penerokaan, penyatuan ilmu dan pembinaan insan.
 
 
Matlamat
  1. Untuk mengekalkan status dan memajukan minat orang ramai terhadap bidang sains matematik.
  2. Untuk melaksanakan kemajuan dalam pengajaran sains matematik.
  3. Untuk menyediakan kaedah komunikasi antara pelajar, guru dan lain-lain yang berminat di dalam bidang matematik dan  pengajaran matematik.
  4. Untuk memelihara minat dalam pengajaran dan penglibatan sains matematik serta kepenggunaannya.
  5. Untuk mengambil langkah-langkah yang difikirkan berguna bagi mengembang pandangan-pandangan persatuan berhubung dengan sebarang persoalan yang mempunyai kesan terhadap pembelajaran dan pengajaran sains matematik.
 
 
Keahlian, Manfaat dan Yuran
Keahlian persatuan ini adalah terbuka kepada sesiapa yang berminat di dalam bidang sains matematik. Terdapat empat jenis keahlian di dalam persatuan ini, iaitu:
  1. Felo(Dicalonkan oleh Majlis Persatuan Sains Matematik Malaysia)
  2. Ahli biasa (yuran RM30.00 setahun).
  3. Pelajar (yuran RM6.00 setahun).
  4. Institusi (yuran RM50.00 setahun).

Permohonan keahlian (kecuali sebagai Felo) mestilah dibuat dengan mengisi borang permohonan keahlian yang boleh didapati dari setiausaha kehormat persatuan atau KLIK SINI. Semua permohonan akan dipertimbangkan oleh Majlis Persatuan Sains Matematik Malaysia. Ahli biasa akan juga dibenarkan membuat pembayaran yuran seumur hidup sebanyak RM 300.00 sekaligus atau RM 75 setelah menjadi ahli biasa sekurang-kurangnya 10 tahun tidak putus-putus.
Ahli - ahli biasa dan ahli seumur hidup akan dikirim " Bulletin Of The Malaysian Mathematical Society (Second Series)" dan "Menemui Matematik ". Ahli - ahli pelajar pula menerima "Menemui Matematik"."Warkah Berita" Persatuan Sains Matematik Malaysia pula akan diedarkan kepada semua ahli. Setiap ahli juga akan diberi potongan harga di dalam pembelian lain-lain penerbitan persatuan. Yuran tahunan keahlian mestilah dibayar pada 1 Jun setiap tahun.
 

Persatuan Sains Matematik Malaysia berusaha untuk mendapatkan kerjasama dan sokongan daripada orang ramai yang berminat di dalam bidang matematik. Persatuan ini menjemput semua pensyarah matematik di universiti, institut, kolej dan guru-guru sekolah menengah, mereka yang menggunakan sains matematik sebagai alat di dalam perniagaan atau profesion mereka dan mereka yang mengiktiraf khidmat besar matematik di dalam pembinaan tamadun untuk menjadi ahli persatuan ini.

 
 
Organisasi
Badan pentadbir persatuan ini ialah Majlisnya yang terdiri daripada seorang Presiden, dua orang Naib Presiden, seorang Setiausaha Kehormat, seorang Penolong Setiausaha Kehormat, seorang Bendahari Kehormat dan empat orang Ahli Jawatankuasa. Ahli Majlis dilantik pada mesyuarat agung persatuan yang pada kebiasaannya diadakan pada bulan Julai atau Ogos setiap tahun. Hanya ahli biasa dan ahli seumur hidup layak untuk dilantik menganggotai Majlis Persatuan ini. Mesyuarat Agung pemilihan ahli Majlis di buat setiap dua tahun.